LAMAN CIKGU BAHRI
3.2   Bahan Bantu Mengajar Multi Media Interaktif

Menurut Dr. Khairuddin Mohamad (2011) bahan pengajaran ialah satu instrumen yang digunakan sebagai sumber untuk memantapkan teknik pengajaran guru dan pembelajaran murid. Membangunkan bahan pengajaran multimedia memerlukan kepada penekanan terhadap beberapa aspek. Antara aspek yang amat dipertekankan ialah apakah panduan yang perlu digunakan atau diikuti bagi memastikan segala proses mereka bentuk dan pembangunan berjalan dan menepati apa yang dikehendaki (Jamaluddin Harun & Zaidatun Tasir, 2007).

                         Media merujuk kepada alat perantara komunikasi yang menghubungkan sesuatu sumber kepada sasarannya. Media juga dapat membantu manusia untuk menerima, menafsir atau dan menikmati kejadian di dalam persekitaran dengan lebih jelas. Multimedia pula adalah integrasi, gabungan dan persembahan secara teratur yang diasaskan pada platform sistem komputer peribadi. Sistem komputer peribadi inilah yang mengawal pelbagai jenis data media. Data media ini adalah merupakan elemen-elemen teks, grafik, audio, imej kaku, video dan animasidi dalam satu atau lebih kombinasi. Menurut Ismail (2002), multimedia merupakan pemudahcara bagi proses pengajaran dan pembelajaran.      
·             
               Interaktif merupakan aplikasi yang membenarkan pengguna untuk berinteraksi dengan media yang disampaikan secara aktif. Menurut Saridah binti Hussein (2006), Multimedia interaktif mewujudkan situasi pembelajaran berkesan dan menyeronokkan kerana pelajar akan mengingati 20% daripada apa yang dilihat, 30% daripada apa yang dilihat dan didengar dan 60% - 70% adalah daripada apa yang mereka interaksi.
                       
               Rozinah (2002) menyatakan bahawa perisian multimedia memberi motivasi kepada pelajar dengan menjadikan pembelajaran lebih menarik apabila pelajar memahami apa yang dipelajari dalam konteks yang sebenar. Perisian multimedia yang berkualiti akan mempengaruhi penggunaannya di dalam kelas. Yusup (2007) berpendapat satu perisian yang baik mestilah bersesuaian dengan objektif pengajaran dan pembelajaran.
               
 

               
3.3   Pengalaman Menyediakan Bahan Bantu Mengajar Multi Media Interaktif
           
Sebagai seorang guru sememangnya tidak lari daripada melaksanakan proses pengajaran dan pembelaran (p&p) samada di dalam atau di luar bilik darjah. Proses pengajaran berkesan terhasil daripada adanya sokongan alatan atau bahan-bahan pengajaran yang digunakan oleh guru. Oleh sebab itulah guru-guru perlu melengkapkan diri dalam menghasilkan segala bahan-bahan sokongan bagi memastikan matlamat dan objektif pengajaran dapat dicapai.

               Sebagai seorang guru, saya juga tidak mahu ketinggalan dalam menghasilkan bahan pengajaran multimedia secara interaktif. Walaupun saya lahir daripada kalangan guru yang tidak dilengkapi dengan kemudaham ICT, namun sebagai seorang guru saya berpendapat kita perlu mengikuti perkembangan teknologi pendidikan semasa. Kalau di peringkat guru tidak menguasai bidang ini, maka tidak hairanlah jika ada murid yang buta IT. Melalui ruangan ini saya kongsikan pengalaman dalam menghasilkan bahan-bahan pengajaran berbentuk ICT termasuklah bahan multi media intreraktif.

               Bahan multimedia interaktif yang pernah saya hasilakan ialah pakej pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu. Antaranya termasuklah Pakej Pembelajaran Kata Bilangan, Pakej Pembelajaran Kata Adjektif, Perayaan Di Malaysia dan banyak lagi. Semua pakej pembelajaran tersebut saya hasilkan menggunakan perisian MS Power Point. Saya dapati bahan-bahan pengajaran secara interaktif yang saya gunakan itu dapat menarik minat murid-murid saya untuk mengikuti pelajaran. Bahan-bahan tersebut juga saya kongsikan dengan rakan-rakan guru di sekolah saya melalui aktiviti Panitia dan Kelab Bahasa Melayu.


1
               Selain itu, bahan-bahan multimedia yang saya hasilkan telah saya kongsikan melalui laman blog yang saya bina. Laman blog saya 'LAMAN CIKGU BAHRI' yang saya bina boleh diakses oleh sesiapa sahaja dengan melayari url http://lamancikgubahri.blogspot.my/. Semua bahan pengajaran, nota , latihan-latihan secara interaktif, gambar serta video pengajaran, saya muatkan di dalam laman blog tersebut. Saya kerap menjadikan laman blog saya sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran saya di dalam bilik darjah. Murid-murid saya bukan sahaja dapat mengakses maklumat yang terdapat dalam laman blog saya itu di sekolah malah di mana-mana sahaja mereka berada.  Blog yang saya bangunkan setakat ini telah dikunjungi  oleh 86,215 orang pengunjung dari seluruh dunia. Melalui laman blog ini, saya telah dapat kongsikan segala inovasi pengajaran saya kepada semua pihak sepertimana yang telah dilakukan oleh guru cemerlang yang saya telah temu ramah itu.
               Saya juga tidak ketinggalan dalam menyokong usaha pihak Kementerian Pendidikan untuk menjadikan ICT sebahagian daripada kandungan pembelajaran murid. Sebagai contohnya, kemudahan yang disediakan oleh syarikat multimedia 1bestarinet telah saya gunakan dengan memuatkan bahan-bahan pengajaran saya melalui laman frog vle. Saya juga menamakan laman saya 'Laman Cikgu Bahri' pada laman frog vle tersebut dan boleh diakses melalui url https://jba1064.1bestarinet.net/app/os. Bahan-bahan tersebut saya kongsikan kepada semua murid dan guru-guru di seluruh negara ini yang terlibat secara langsung dengan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran.

               Melalui program e-pembelajaran eksklusif seperti Zoom-A yang dilanggan oleh pihak sekolah dan murid-murid juga telah saya gunakan sebagai salah satu bahan pengajaran secara interaktif. Zoom-A yang menjadi ruang simpanan bagi soalan-soalan mengikut aras kesukaran dan topikal boleh diakses oleh murid di mana-mana sahaja dalam melaksanakan latihan menjawab soalan-soalan bagi semua subjek. Saya dan ibu bapa murid juga dapat memantau perkembangan mereka. Tidak secara langsung saya dapat membuat perkongsian pendapat dengan ibu bapa murid berkaitan prestasi pelajaran mereka.

               Dalam menyediakan semua bahan pembelajaran secara interaktif tersebut, saya telah mempelajarinya daripada kursus-kursus dan bengkel-bengkel Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam ICT anjuran pihak sekolah, pejabat pelajaran daerah, jabatan pelajaran atau pihak kementerian pendidikan. Selain itu pembelajaran secara kendiri dengan merujuk buku-buku di pasaran dan laman-laman sesawang banyak membantu saya dalam menghasilkan bahan-bahan pengajaran terebut.

               Beberapa aspek  perlu saya ambil kira dalam membina bahan pengajaran itu. Antaranya saya perlu memastikan bahan tersebut bersesuaian dengan isi pelajaran yang saya akan sampaikan kepada murid-murid. Bahan-bahan multimedia interaktif yang saya gunakan pastinya dapat membantu saya dalam mencapai objektif pengajaran saya. Selain itu saya perlu memastikah bahan tersebut dapat menarik minat murid untuk belajar. Kesannya murid akan mudah menguasai satu-satu topik yang saya ajarkan kepada mereka. Bahan multimedia interaktif yang digunakan juga seharusnya bersesuaian dengan tahap pencapaian murid. Untuk itu, saya sering menentukan sasaran murid terlebih dahulu sebelum menghasilkan bahan pengajaran saya. Hal ini membolehkan saya membina bahan mengikut kemampuan dan keupayaan murid.


 
               Kesimpulannya, bahan multimedia interaktif yang saya bina dan guna telah membuktikan bahawa saya adalah seorang guru yang inovatif. Seseorang guru yang berinovatif perlu sentiasa mempelbagaikan bahan-bahan pengajaran demi menimbulkan suasana pengajaran yang menyeronokkan. Perkongsian ilmu yang saya lakukan dengan pelbagai pihak juga menunjukkan saya mempunyai ciri-ciri seorang guru yang inovatif. Guru yang berinovatif adalah guru yang sentiasa menjadi pemudah cara dan sentiasa menjalinkan kerjasama dengan rakan sekerja dan sesiapa sahaja dalam mengembangkan ilmu yang mereka ada.


3.4   Pengalaman Dalam Melaksanakan Strategi Pengajaran Yang Inovatif

Seseorang guru hendaklah mempelbagaikan strategi dan kaedah pengajaran semasa sesi pengajaran dan pembelajaran ( P&P). Pembelajaran akan berjalan dengan lancar, menarik dan berkesan sekiranya guru menggunakan pelbagai kaedah yang bersesuaian dengan isi pelajaran dan kemahiran yang akan dicapai oleh murid (Mohamad Johdi, 2007).

            Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, saya juga telah menggunakan pelbagai kaedah supaya objektif pengajaran saya tercapai. Saya sering menjalankan kaedah koperatif dan kolaboratif dalam pengajaran saya. Saya aplikasikan kaedah pengajaran tersebut melalui aktiviti-aktiviti kumpulan di mana murid-murid saya dapat berkomunikasi dan berkolaborasi antara satu sama lain. Murid-murid akan saya pecahkan kepada beberapa kumpulan setiap kali saya menjalankan aktiviti pengajaran bagi memberi peluang kepada mereka untuk menjalinkan semangat kerjasama di samping menanamkan sifat persefahaman dan perpaduan antara satu sama lain.

            Saya juga menjalankan pengajaran sama ada berpusatkan kepada murid, guru, bahan atau tugasan. Kaedah pengajaran yang berpusatkan guru di mana guru sebagai ketua jika sering dijalankan mungkin akan menjadikan murid bosan kerana mereka tiada peluang untuk memberikan pendapat atau kurang mencabar mereka. Walaubagaimanapun, ada kalanya guru perlu berfungsi sebagai ketua khususnya dalam menerangkan satu-satu konsep itu. Kaedah pengajaran berpusatkan murid pula dapat memberikan peluang murid membuat keputusan dan melatih mereka dalam membuat keputusan. Bagi kaedah berpusatkan bahan dan tugasan boleh memberikan peluang murid lebih kreatif selain menimbulkan keseronokan. Untuk itu, saya mempelbagaikan kaedah-kaedah itu atau tidak terhad kepada satu kaedah sahaja mengikut kesesuaian aktiviti pembelajaran yang saya akan jalankan.


 
            Program ithink yang dijadikan salah satu kaedah pengajaran  alaf 21 di mana ianya menitikberatkan pembinaan peta pemikiran atau peta minda juga saya aplikasikan dalam pengajaran saya. Lapan peta pemikiran yang diperkenalkan kepada murid saya gunakan dalam aktiviti pengajaran saya. Murid-murid bukan sahaja didedahkan untuk memahami peta pemikiran tersebut malah mereka dapat membina dan mengaplikasikannya dalam menghuraikan isi kandungan sesuatu topik yang disampaikan itu. Hal ini memudahkan saya dalam menyampaikan satu-satu isi pelajaran itu kepada murid di samping menjimatkan masa. Saya lihat murid-murid saya telah mula mengaplikasikan kemahiran dalam membina peta pemikiran ini bukan sahaja dalam mata pelajaran yang saya ajar malah dalam mata pelajaran yang lain juga.Ini menunjukkan saya telah berjaya membentuk murid supaya berfikiran kreatif dan berfikiran kritis.

            Kaedah ganjaran merupakan kaedah yang sering saya gunakan. Murid-murid akan menjadi lebih aktif sekiranya diberikan ganjaran setelah mereka menunjukkan perkembangan atau perubahan tingkah laku yang positif. Saya melihat perkara ini sebagai satu yang amat perlu diberikan perhatian. Untuk itu saya akan memberikan ganjaran berbentuk kata-kata semangat atau bentuk barangan seperti gula-gula,coklat atau apa-apa sahaja barang yang saya mampu dan diminati oleh murid. Kata-kata manis seperti 'pandai', 'bagus' dan sebagainya juga sudah memadai untuk membuatkan mereka rasa dihargai.  Kesannya dapat dilihat apabila mereka sering tertunggu-tunggu kehadiran saya untuk masuk ke bilik darjah dan tertanya-tanya apabila saya tidak hadir ke sekolah.
            
            Kaedah pengajaran yang berteraskan penggunaan kemudahan ICT juga dilihat dapat memberikan kesan yang baik kepada proses pengajaran dan pembelajaran murid. Untuk itu saya sering menggunakan kaedah pembelajaran ini di mana murid diberikan peluang belajar secara hands on. Mereka juga saya berikan peluang untuk menggunakan aplikasi media yang diperolehi melalui capaian internet sama ada di sekolah atau di rumah mereka. Tidak secara langsung saya dapat membuatkan proses pembelajaran itu satu yang ada kesinambungannya iaitu pembelajaran di sekolah dan pembelajaran di rumah.


            Berpandukan kaedah-kaedah pembelajaran yang saya amalkan itu telah menunjukkan saya seorang guru yang inovatif. Kesimpulannya, seseorang guru itu dapat menilai dirinya sendiri samada mereka itu guru yang inovatif atau sebaliknya setelah mengetahui apakah ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh seseorang guru inovatif.
1 Response
  1. Unknown Says:

    Tahniah Cikgu Bahri, banyak ilmu bermanfaat dlm blog cikgu ini berdasarkan senarai di belah kanan, mohon izin membaca, terima kasih.


Post a Comment